Nikmati kehidupan

|

I.
Seronoknya hari ini. Erm ye ke seronok? Ya....kerana seorang sahabat telah selamat mengikat tali pertunangan.Aku sentiasa tersenyum, memandang senyumannya yang manis. Melihat cahaya kegembiraannya terpapar di wajah. Ya...aku pernah melalui saat itu. Saat-saat detik hati yang debar. Saat diri kan menjadi tunangan orang. Namun siapa sangka, senyuman itu tidak lama. Akhirnya tenggelam dek keadaan semasa. Aku terkenang juga waktu riuhnya rumah perlindunganku ini. Dengan gelak tawa anak-anak kecil. Riang berlari dari depan ke belakang , dan sesekali berlari masuk ke kamarku yang wangi harumnya haruman bunga rampai.

Aku terkenang, saat-saat persiapan menghadapi hari itu. Betapa terujanya hati bersama teman-teman yang setia menemani. Meneman malamku, bersama menggubah hantaran, berkongsi idea , memberikan pandangan. Ah.....aku sudah lalui saat itu. Penat tidak terasa. Kemeriahan menenggelamkan segala. Aku jadi rindu.

Masa terus berlalu. Aku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tiada lagi senyuman yang menjadi penyeri. Tiada lagi kebahagiaan di hati. Segalanya sudah aku lalui. Semoga senyuman sahabatku tadi akan ku lihat lagi kekal sepanjang hayatnya. semoga impiannya kan jadi nyata bahagia bersama.Aku akan meneruskan perjalanan yang berliku. Aku masih lagi mencari senyuman untuk mengganti senyuman yang lalu. Aku masih lagi mencari kebahagiaan diriku. Aku masih lagi insan yang memerlukan teman suka duka.Semoga Allah segera menemukan.

II.
Ntah mengapa terasa seakan ada air mengalir dihati. Aku bukan bersedih. Tapi aku mungkin berbahagia. Mengapa? Aku seakan tidak percaya aku boleh bertemu sapa dengan sahabat yang pernah ku kenali 10 tahun lalu. Kini mereka kembali kepadaku. Dulu aku dan mereka jauh walaupun sebenarnya kami dekat. Sekarang ini, aku merasakan mereka sangat dekat denganku walaupun hakikat sebenarnya jarak menjauhkan kami. Aku tidak pernah terlintas di minda bahawa aku akan alami semua ini.

Semoga persahabatan ini , persahabatan 'musim' ke dua ini, akan terus berkekalan. Semoga kami sentiasa berhubungan dan ku berharap ikatan kali ini akan lebih kuat dan teguh. Aku semakin sayang kepada mereka. Syahjehan, ceriteramu mengajarku tentang keceriaan hidup. Wanliz, coretanmu menunjukkan aku tentang ketabahan hati. eeeda, penceritaanmu memperlihatkan aku akan kejayaan hidup. Kokoro, hebahanmu menjadikan aku berpengetahuan dan Shamsul, karanganmu memanduku untuk meneruskan senyuman di wajah. Kehadiran kalian menyedarkan aku tentang kehidupan ini sebenarnya adalah untuk kita sama-sama nikmati dan bukan untuk ditangisi.

Tidak bertajuk

|

Tidak tahu mengapa....tapi hari ini aku rasa gembira walaupun ada unsur kebosanan terselit dalam jiwa. Namun aku masih ingin menulis sesuatu di sini. Tentang apa? Kisah apa? Entah aku tidak pasti. Aku hanya mengetuk-ngetuk papan kekunci laptop ini mengeja dan terus mengeja sehinggakan perkataan-perkataan yang kususun menjadi ayat-ayat yang ada makna. Maksudnya boleh dibaca lah...walaupun sebenarnya tiada isi pun kan? Heheheh aku ingin menulis tapi tiada idea. Mungkin juga keterujaan ku terhadap wajah baru di blog ini. Kemungkinan yang sangat besar....Aku suka berada di sini.

Mencari diri

|

Aku ingin sekali bermonolog di sini. Tetapi aku sering ketandusan idea menyusun kata. Perbendaharaan kata-kata hanya menimbun tatkala aku kecewa, aku marah, aku sedih, aku pilu. Aku gundah. Aku sering kehilangan kata-kata apabila segala yang negatif itu lenyap. Hah...itulah manusia. Hanya teringat apabila terjelapuk. Hanya sedar apabila terduduk.

Tatkala waktu kebahagiaan dengan diri, kita lupa kesedihan. Ketika kita kaya, kita sering lupa kepada kemiskinan. Manusia seperti kita-kita memang sering lalai dan kerap lupa. Mabuk dengan segala kesenangan. Terlalu kelekaan dengan keselesaan. itulah kita. Dan aku?

Aku salah seorang daripada jutaan manusia yang sering kelekaan. Inginkan perubahan, tindakan apakah yang aku ambil. Menuju kearah impian, adakah langkah telah ku mulakan. Betapa beratnya untuk memulakan langkah. Walaupun hati telah lama tahu seribu langkah itu bermulanya daripada satu langkah.

Mungkin ini salah satu caranya aku menyata hasrat memula langkah. Memberitahu kepada semua apa yang aku cari.

Apa perubahan yang aku mahu?
Apa tindakan menuju perubahan itu?
Siapa aku esok hari?
Bagaimana akan aku diingati setelah mati?

Aku sedang mencari siapa aku....
Aku sedang mencari diri....
Aku sedang menilai hati....
Aku sedang membina jati diri....

Mulakan langkahmu kaki
Mulakan niatmu hati

Tunjukkan bagaimana hebatnya kamu,siapa kamu!

Meniti hari ini

|

Titian hariku semakin teguh. Jambatan kasihku pada hati semakin kukuh. Walau ada waktu aku tersandung. Walau ada masanya petir berdentum. Itu semua tidak kuhirau lagi. Kesakitannya sudah lali. Aku meneruskan langkah. Membuka hati , melebarkan sayang , menadah minta kebahagian. Hatiku ku ajarkan keikhlasan. Dan hari ini, dengan bertunjangkan keikhlasan ....walaupun masih terasa kurangnya perasaan..aku berjaya hadapi.
Aku ceria tunjuk ajar kepada mereka-mereka betapa kita-kita semua sebenarnya sejahtera. Aku suka bersuara bahawa kita-kita bahagia bersama. Walaupun kita-kita semua berbeza adat dan budaya. Aku bangga berkata kita-kita semua anak Malaysia.

Hari ini....aku bangga menjadi aku. Aku teruja bila diri diperhati . Aku tak sangka aku penting pada mereka-mereka. Aku sedar kini, aku berada di sini pada hari ini bukan untuk dia seorang. Masih ada ramai mengharap kasih dan perhatianku. Aku ada dia, aku ada dia, dan aku ada dia. Aku masih perlu terus hidup, untuk dia, dia, dan dia. Aku perlu bersemangat supaya dia,dia dan dia tidak tersungkur sepertimana aku jatuh. Aku perlu kuat untuk berada di sisi dia, dia dan dia untuk mereka terus maju membangunkan hidup.

Aku masih aku tanpa perlu membazirkan air mata kesedihan. Aku perlukan air mata itu agar menjadi air mata yang lebih memberi makna. Hari ini, aku masih bangun dari jatuhku untuk mereka-mereka yang lebih menghargai aku.

Bagaimana hidup yang dicari

|

Aku sudah lama berkelana di atas bumi ini. Lamakah? Bernilaikah 30 tahun yang sudah diberi Allah kepadaku? Bagaimanakah sebenarnya hidup yang aku cari? menyendiri atau sabaliknya. Anda pula bagaimanakah hidup yang anda cari? Kebahagian? Kekayaan? Ketenangan? Kemewahan? Segalanya ada. Ada didepan mata kita semua. Tetapi masih terselindung dek ribuan lagi harapan dalam jiwa.