Giliranku diduga dan diuji...

|

Banyaknya perkara yang membuatkan hatiku tersentuh, jiwa mengeluh dan emosi berterabur sini sana. Aku menjadi bertambah-tambah sensitif saban waktu. Semakin hari berganti hari, mudahnya tersentuh hati. Bila aku kenang-kenang kembali, sinar cahaya dalam hidupku seakannya semakin kesamaran. Giliranku diduga sudah tiba, giliranku diuji sedang berlangsung. Syukur....Allah masih sayang padaku,walhal adakala aku sering terlupa dek kerana leka dengan duniawi.

Aku sayang 'dia'. Akhirnya 'dia' yang aku sayang membunuh hati ini. Ujian paling besar Allah beri pada aku. Kenapa? Aku belum ada jawapannya.

Kawan, dekat depan mata tapi jauh. Seorang kawan tempatku menghiburkan hati. Tiba-tiba menyepi. Aku seakan diketepikan. Aku amat terasa hati. Kesibukan menjadi rutinnya penyebab terputus keakraban. Tiada lagi perkongsian kembara, tiada lagi berkongsi cerita. Sirna persahabatan itu perlahan-lahan.

Insan yang sentiasa di sisi memberi dan meneman disaat-saat aku memerlukan. Jarak telah memisahkan kami atas urusan kerja. Aku hilang tempat untuk menumpang duka. Masih mampu berkongsi, tapi keintimannya berbeza. Tetap tak serupa di kala dia berada di sisi. Tetapi aku masih terima, dia bukan milik aku di sini. Dia milik suami dan anak-anaknya yang abadi. Hati menangis sendiri. Satu.....bukan pisah selamanya,sementara. Cuma ntah.....aku terasa ketiadaannya.

Terima lagi berita. Tempat aku mengada-ngada. Menjarakkan juga kemesraan dulu. Kedatanganku adalah kepulangannya. Berselisih cuma diantara datang dan pulang. Masih mesra tapi tidak seindah mesra yang lalu.

Akhirnya, teman tempat ku bermanja. Tidakkan dapat menjadi pergantungan manja nan mengada-ngada. Tetap urusan kerja menjarakkan. Tiada lagi gurau senda. Tiada lagi tempat berkongsi cerita duka bahagia. Ketenangan jiwa semakin gelora aku kehilangan insan-insan teman istimewa dalam hidup yang sementara.

Lima insan teman istimewa dalam hidupku pergi jauh satu persatu. Ketiadaanku tiada keterasaan mungkin pada mereka. Mereka punya insan-insan lain yang lebih istimewa. Siapalah aku dalam sekadar teman diperjalanan hidup yang singkat. Tapi bagiku....kepergian mereka dari ku , terlalu 'segera'. Seorang demi seorang menjauh dariku....tanggungjawab menjarakkan kami. Tetapi mengapa Allah memilih mereka-mereka yang terlalu intim denganku? sekali gus....dalam masa yang singkat! Apakah yang Allah telah sediakan untuk aku untuk semua ini?

Kesabaranku tercabar. Kemahiran mengawal emosiku tergugat. Aku perlu kuat! Redha dan perlu terima segala ketentuan itu. Pasti ada sesuatu yang besar sedang menantiku di hadapan sana. Semoga aku tabah menghadapi segala dugaan dan ujian ini!

Segala peristiwa menyentuh rasa. Sedikit kejauhan membuatkan aku jauh hati. Saat bersendiri adakala air jernih membasahi hati.

Takdir Hidup Insan

|

“Takdir itu ialah Qada dan Qadar Tuhan iaitu suatu ketetapan Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha luas dan halus ilmu pengetahuanNya ke atas apa yang telah dan akan berlaku kepada alam dan segala isinya yang telah sedia termaktub tertulis sejak Azali lagi di dalam Luhul-Mahfuz.”

Manusia sebagai hamba yang lemah tiada kuasa sedikitpun walaupun sekecil-kecil zarrah untuk menentukan Takdir dan nasib mereka sendiri kerana Allah itu salah satu sifatnya ialah ”memperbuat apa yang Dia kehendaki” (Al-Buruj ayat 16).

Zahirnya syariat menyuruh manusia berusaha, beramal, sedang hakikat syariat melarang manusia menyandarkan diri pada amal usaha itu, supaya tetap bersandar pada kurnia rahmat Allah semata-mata.

Kalau insan inginkan kebahagian jiwa yang hakiki, maka insan mestilah sentiasa yakin bahawa sesungguhnya apa sahaja yang telah dan yang akan berlaku di dalam hidup insan sama ada bahagia atau derita, miskin atau kaya, berjaya atau gagal semuanya adalah sebahagian dari anugerah Tuhan YANG PALING BAIK DAN SEMPURNA yang telah ditetapkan oleh ALLAH yang Maha Adil, Maha Penyayang, Maha Bijaksana dan Maha Pemurah untuk kehidupan Adik N di dalam dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Redhalah dengan segala ketentuannya.

Alangkah indahnya ucapan Muhyiddin Ibn Arabi apabila dia berkata: Jika ditahan permintaanmu maka bererti engkau telah DIBERI, dan jika segera diberi permintaanmu bererti engkau telah DITOLAK dari sesuatu yang lebih besar. Kerana itu utamakan tidak dapat, daripada dapat dan sebaiknya seorang hamba tidak memilih sendiri, tetapi menyerah sebulat-bulatnya kepada Tuhan yang menjadikannya, yang mencukupkan segala keperluan hidupnya.

Setiap hari katakan lah “Aku bersyukur kepada Tuhan yang telah menetapkan Takdir yang terbaik untuk ku hari ini dan pada setiap masa kerana Engkaulah Tuhan yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Pemurah. Aku redha Ya Allah”

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Ujian dan Halangan

|

Seorang raja yang adil ingin melihat dan meninjau sikap rakyat yang tinggal di wilayah pemerintahannya. Pada suatu hari, baginda dan beberapa orang pembantu yang taat meletakkan seketul batu yang besar di tengah jalan utama di wilayah tersebut. Baginda kemudiannya bersembunyi untuk melihat perilaku rakyat yang lalu lalang melalui jalan itu. Ramai pedangang, peniaga dan pembesar istana yang kaya raya lalu di situ. Mereka cuma mengelak dari merempuh batu tersebut. Ramai jugak di antara mereka yang merungut dan menyalahkan Raja kerana tidak menguruskan satu-satunya jalan utama yang sibuk itu dengan baik. Tidak seorang pun di antara mereka yang cuba mengalih batu tersebut dari jalan itu.


Tidak lama kemudian seorang petani melalui jalan itu dengan membawa sebakul sayur-sayuran untuk dijual di pasar. Bila terlihat ada seketul batu yang menghalang perjalanannya, petani tersebut meletakkan bakul yang digalasnya lalu cuba untuk menolak batu itu ke tepi. Selepas mencuba sedaya upaya, akhirnya batu itu dapat dialih. Ketika ingin mengambil bakulnya semula, petani tersebut terlihat ada satu bungkusan kecil berupa dompet. "Mesti ada seseorang yang tercicir dompet ini ketika ingin cuba mengalih batu ini tadi" kata petani dalam hatinya. Dia pun membuka untuk meneliti pemilik dompet tersebut supaya mudah dia mengembalikan dompet tersebut kepada tuannya. Alangkah terperanjatnya bila dia mendapati dompet itu dipenuhi dengan wang yang banyak dan sekeping nota daripada raja kepada sesiapa yang mengalih batu tersebut. Nota itu menyatakan duit yang di dalam dompet tersebut menjadi kepunyaan orang yang mengalih batu tersebut serta raja mengucapkan berbenyak-banyak terimakasih kerana sikap prihatin yang ditunjukkan.


Situasi dalam cerita di atas seringkali terjadi dalam hidup kita. Jika boleh, kita tidak mahu melalui sebarang halangan dalam meniti kehidupan seharian. Jika boleh, kita mahu perjalanan hidup kita ini lancar tanpa gangguan dan halangan. Namun, bukan begitu adat kehidupan di dunia ini. Sebagai manusia, kita akan diuji dengan pelbagai masalah dari semasa ke semasa. Ujian dan masalah itu merupakan satu pendidikan yang amat berkesan dalam hidup kita. Ia mendidik kita dari pelbagai sudut (fizikal, mental, emosi, sikap etc) sebab itulah orang yang bijak, dia tidak akan mencari masalah namun bila masalah itu datang kepadanya, tidak pula dia lari dari masalah itu kerana dia tahu Allah mendatangkan masalah itu berserta seribu rahmat dan hikmah. Biar berapa lama pun masa dan biar berapa kali pun kesilapan yang kita lakukan dalam menyelesaian sesuatu masalah, di sana kita belajar sesuatu yang amat bernilai dalam kehidupan kita. Biasa kita lihat, orang yang "berjaya" (berjaya di sini bukan bermaksud kaya raya) dan "bahagia" dalam kehidupan, dia telah melepasi pelbagai ujian dan masalah. Ujian dan masalah itu yang menjadikan dia seorang yang matang, sabar, tabah, kental dan lain-lain sikap yang positif (mahmudah), yang tidak akan dipelajari oleh orang-orang yang asyik mengelak dan lari dari menghadapi ujian dan cabaran.

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Beritahu Perempuan itu...

|

Beritahu pada perempuan itu
Dirinya ibarat kaca
Disentuh terguris, dihantuk serpih
Dihempap berkecai

Beritahu pada perempuan itu
Jaga tutur kata
Cakap tinggi nanti dibenci
Terlalu rendah dipijak pula
Cakap sombong mengundang lawan
Hati-hati meluah kata
Kerana pulut santan binasa
Kerana mulut badan binasa

Beritahu pada perempuan itu
Jaga tingkah laku
Harga diri letak di situ
Jangan meluru ikut telunjuk nafsu
Sesekali tersilap langkah
Akan dihukum selamanya
Keturunan dicerca tidak payah
Menyesal kemudian bukan faedah

Beritahu pada perempuan itu
Jaga pakaian
Ia cermin peribadi
Juga lambang bangsa
Di mana dan dalam keadaan macam manapun
Biar orang kenal
Dia orang Melayu

Beritahu pada perempuan itu
Simpan secebis malu
Kerana malu itu sebahagian dari iman!!!

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Ku pohon kehadratMu

|

Ya Allah....kuatkan hatiku, tabahkan jiwaku. Aku bermohon Kau berikan aku cahayaMu untukku melupakan segala peristiwa lalu. Untuk aku membina penghidupan yang baru. Seawal ini, belum pun sempat aku melangkah membina semangat, Kau datangkan lagi berita yang meluluhkan perasaanku.

Tahun ini tahun baru. Penghidupan yang baru menjadi impianku. Mengapa sukar untukku memberi kemaafan itu. Ya Allah berikanlah hidayahMu untukku. Aku tak berdaya menanggung beban perasaan ini. Di pandangan alam. Aku berpura kuat dah cekal. Aku berpura senyum menceriakan. Hakikatnya hanya Kau yang mengerti. Sehingga bilakah aku akan bertahan dengan kepura-puraan ini? Mengapa aku yang Kau pilih untuk menghadapi ujian yang seberat ini? Ya ....pada aku insan kerdil ini, dugaanMu terlalu berat untuk aku tempuhi.

Ya Allah....tuhanku yang maha mengasihi, aku merayu padaMu berikanlah aku cahayaMu. Gantikanlah duka laraku dengan kerlipan cahaya. Terangi jiwaku dengan NurMu itu. Aku dah tak berdaya menipu perasaan dukaku. Aku dah tak terdaya memberi senyum palsu. Aku dah tak mampu berdrama kecekalan jiwaku. Ini aku. Sakit.

Namun...akan jua kuterus tanpa jemu. mencari mereka-mereka yang tabah. Mendekati mereka-mereka yang ceria. Menghampiri mereka-mereka yang cekal hati. Semoga Kau izinkan aku menjadi setabah mereka. Seceria dan secekal mereka. Ya Allah....aku benar-benar inginkan keteraman jiwa, menuju lorong kebahagiaan. Berikan aku seseorang yang dapat menunjukkan jalan itu kepada ku. Ya Allah aku bermohon. Berikanlah dia kepadaku. Aku merayu...aku bermohon. Berikan keajaiban kepada hati nuraniku ya Rabbi.....