Mencari diri

|

Aku ingin sekali bermonolog di sini. Tetapi aku sering ketandusan idea menyusun kata. Perbendaharaan kata-kata hanya menimbun tatkala aku kecewa, aku marah, aku sedih, aku pilu. Aku gundah. Aku sering kehilangan kata-kata apabila segala yang negatif itu lenyap. Hah...itulah manusia. Hanya teringat apabila terjelapuk. Hanya sedar apabila terduduk.

Tatkala waktu kebahagiaan dengan diri, kita lupa kesedihan. Ketika kita kaya, kita sering lupa kepada kemiskinan. Manusia seperti kita-kita memang sering lalai dan kerap lupa. Mabuk dengan segala kesenangan. Terlalu kelekaan dengan keselesaan. itulah kita. Dan aku?

Aku salah seorang daripada jutaan manusia yang sering kelekaan. Inginkan perubahan, tindakan apakah yang aku ambil. Menuju kearah impian, adakah langkah telah ku mulakan. Betapa beratnya untuk memulakan langkah. Walaupun hati telah lama tahu seribu langkah itu bermulanya daripada satu langkah.

Mungkin ini salah satu caranya aku menyata hasrat memula langkah. Memberitahu kepada semua apa yang aku cari.

Apa perubahan yang aku mahu?
Apa tindakan menuju perubahan itu?
Siapa aku esok hari?
Bagaimana akan aku diingati setelah mati?

Aku sedang mencari siapa aku....
Aku sedang mencari diri....
Aku sedang menilai hati....
Aku sedang membina jati diri....

Mulakan langkahmu kaki
Mulakan niatmu hati

Tunjukkan bagaimana hebatnya kamu,siapa kamu!

0 teguran hati: