Semuanya seketika

|

"Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembali kita kepadaNya"

Antara permulaan bait-bait lagu tetamu senja. Dan malam ini aku menerima khabar salah seorang sepupu lelakiku telah kembali menemui si Pencipta. Arwah sudah berbulan terlantar sakit. Ntah kami sekeluarga merasakan penyakitnya suatu misteri, sains boleh menulisnya sebagai barah. Tetapi sukar pula dikesan jika ia benar-benar barah. Orang-orang lama boleh menyatakannya buatan orang. Nauzubillah...sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui. Dia telah pun pergi dan semoga rohnya dicucuri rahmat. Sememangnya apa yang menjadi milik kita, milikannya seketika cuma!

Inilah Kudrat

|

Melakukan semuanya...seakan aku sudah kehabisan kudratku. Namun, aku tidak boleh berhenti disini. Aku harus meneruskan tanggungjawab itu. Tanggungjawab sebagai anak, itu tidak mungkin aku tinggalkan untuk keselesaanku. Tanggungjawab sebagai pendidik, mana mungkin aku abaikan. Tanggungjawab sebagai kawan sentiasa ku berusaha menunaikan.

Sebagai anak, tanpa orang tua manakan kita berada di sini untuk mengembara dalam dunia. Kerana mereka kita kenali alam. Kerana mereka kita belajar tentang kehidupan.

Sebagai pendidik, itulah insan yang mahu dunia ditadbir dengan jayanya. Pandai tulis baca. Punya hati dan jiwa yang kental. Si kecil muda belia perlu dibekalkan agar tidak kebuluran pegetahuan. Agar tidak melencong arah tujuan. Membina insan untuk suatu pengembaraan dunia yang penuh pancaroba.

Sebagai kawan, mereka menjadi teman tatkala bersendiri. Itulah kawan , jasa baik dihargai. Pengganti saudara kandung yang sudah pergi. Semahunya tidak ingin mereka berjauh hati. Hari ini hari mereka esok lusa, mana tahu hari kita pula..

Apakan daya, daya kudrat perempuanku sudah ke tahap maksimum. Aku sudah keletihan. Dan kini aku cuma mahu berhenti seketika. Mengumpul semula kudrat untuk meneruskan apa yang telah diamanahkan itu.Izinkan aku ....

Rindu

|

Hatiku sedikit kerinduan. Merindu dengan suasana lama dulu yang telah berlalu. Merindu dengan zaman itu yang telah berabad menyepi. Walaupun aku bersendiri. Teman-teman ku itulah di sisi. Merekalah adik-beradikku. Sehingga kini, itulah yang aku rasa. Teman itu kakak, teman itu abang, teman itu adik malah teman itu saudara kembarku. Hehehehe...aku redha dengan ketentuan-Nya , menetapkan aku sebagaimana aku hari ini. Masih sendiri.

Ada waktu aku berimaginasi sendiri....mengarut...kerana ia tak akan mungkin menjadi nyata.
Ibu...anganku kau di sisi tatkala ku berduka.
Manisah...harapanku menjadi tempat mengadu domba.
Muhammad...citaku engkaulah pembelaku saat ku dianiaya.
Aku...penglipur mereka semua.
Aniza...kepadanya kuimpi mencurah kasih mesra.
Adik...syukurlah kerana kau tidak pernah kenal dunia yang penuh pancaroba.
Syukur...betapa Allah amat menyayangi kalian.
Sehingga kalian dipanggil dekat di sisi-Nya.

Namun...ia tetap subur dalam alam hidupku.
Aku di sini meneman Ayah...
Kalian di sana meneman Ibu...
Moga kitakan berkumpul bersama di sana.
Bahagia kita kekal ABADI selama-lama.

Indah Rasa

|

Terasa nyamannya pagi. Burung-burung berkicauan. Erm....orang jawa sebut, "perenjak" ada tetamu yang tak disangka-sangka akan menunjukkan diri mungkin. Itu telahan orang-orang lama.Persekitaran sepi, sepi yang mendamaikan. Hati jadi damai. Alangkah bahagianya punya rasa damai.

Aku berbahagia, ayahandaku beransur pulih. Sudah boleh duduk sendiri tanpa perlu diampu. Sudah mampu mengangkat kaki tanpa mengaduh. Aku terasa bahagia sempat melunaskan tanggungjawab yang satu. Terima kasih tuhan memberikan aku kesempatan.

Indahnya pagi tatkala nyawaku dikembalikan. Terima kasih tuhan kerana membenarkan aku meneruskan kehidupan. Semoga kehidupan yang mendatang akan Kau permudahkan.