Hidup ini kuteruskan jua

|

Sudah hampir 40 hari aku sendirian. Hidup ini terpaksa aku teruskan. Aku redha kini dengan segala kejadian. Hari demi hari aku mendapat khabar yang mendukacitakan aku dan orang-orang terhampir dengan ku. Dan bukan aku seorang yang diberi dugaan. Setiap hari ada sahaja dugaan mendatang. Dan semoga setiap dugaan itu adalah ujian sebelum Tuhan menganugerahkan sesuatu yang membahagiakan. Semoga ketabahan itu akan terus menjadi milikku selamanya. Cukuplah sudah ujian penderitaan ini. Ya tuhan, semoga Kau menganugerahkan aku ketenangan dan keamanan jiwa. Semoga Kau menanugerahkan ketabahan dan kesabaran. Sesukar manapun ujian yang Kau sediakan, hidup ini kuteruskan jua.

Aku kini sendirian

|

Sudah 2 minggu ayah meninggalkan aku keseorangan di dunia. Hah...siapa akan menyangka gelaran yatim piatu sebatang kara itu kini menjadi milikku. Dan disaat aku memerlukan seseorang mengapa diketika itu juga ramai yang menyangka aku perlu dibiarkan sendirian. Di mana dia teman-teman yang dulunya mengaku saudara sanggup bersusah menangis bersama. Dan mengapa di kala aku perlu ditemani aku dijauhi. Aku kedu! Benar-benar kini ku sendirian!

Serasa Hempedu

|

Ramadhan datang lagi. Dan seminggu hampir ia berlalu. Segala kenangan kan pasti menjelma tatkala Ramadhan menyinarkan rahmatnya. Dan antara kenangan itu, ada yang menyentuh hati perempuanku angkara dia berdua. Pedihnya tatkala mengenangkan ....jika pahit itu tetap pahitnya...manis cinta ada yang seakan hempedu rasa...betapa sayangnya. Dan itu membikinkan hatiku menangis sepi di gelap malam Ramadhan.

Sentap!

|

Aku tersentap untuk kesekian kalinya. Bukan menolak atau menidakkan....tapi ntahlahhh. Perkahwinan yang membahagiakan. Its sepatutnya begitu, dan bukan kepada yang mengalami sahaja tetapi juga kepada sekalian yang mendengar khabar itu. Tapi berbeza dengan 16 Ogos lalu, terlalu banyak kata-kata menolak, kata-kata negatif. Ahhhh...sungguh aku membenci senario ini. Hanya mengguris kembali sejarah lama yang hampir sama dan tak serupa. Aku benci perempuan seperti itu! Semoga kebahagiaan yang dibina atas air mata itu akan kau rasai selama yang mampu kau rasai. Hidup ini umpama boomerang ....

Aku di sini terkedu dan tersentap lagi. Kelembutan tidak selembut yang dipamirkan! Namun aku tiada hak untuk menghakimi segala kejadian. Sekadar menyata rasa pedih jiwa cuma. Sungguhlah manusia itu tidak sempurna dan selalu mengejar kesempurnaan. Tapi jika kau tidak pernah merasakan kesempurnaan dan tidak menerima ketidaksempurnaan itu , sampai bilakah akan kau begitu?

Senario ini hanya membuatkan hati aku berdarah kembali!

Rajuk rasa

|

Ogos ini Ogos Istimewa. Aku akan pastikan keistimewaan itu tidak dirampas oleh rasa rajukku yang muncul tiba-tiba. Aku rajuk dengan dia. Kenapa? Aku tak pasti. Apa yang dia buat padaku? pada perasaanku? pada hati nuraniku? Tidak.....dia tidak berbuat apa-apa pun. Mungkin hanya kerana diamnya itu maka aku merajuk? Ah ....itu satu kemungkinan! Wahai insan...sedarlah hatimu....sedarlah jiwamu....Siapalah aku yang harus diberikan perhatian di matanya?...di hatinya?...di jiwanya? Dirimu insan... ibarat sebutir pasir dilautan intan. Tak terlihat olehnya! Usah kau rajuk berlama-lama....tertimbus dek intan kau kan terus dilupa. Mahukah kau dilupai olehnya? Tidak ....bukan? Nah! Serlahkan dirimu agar menjadi berlian!

hati yang merundum

|

Benar sangatlah....kita ni hidup ada pelbagai dugaannya. Ada masa-masanya impian dan harapan kita tidak seperti yang kita sangka dan angankan. Namun aku cukup sedih hati...saat diperlukan, kita sentiasa di mata malah mungkin juga bibirnya mengatakan ada juga di hati. Giliran kita memohon sedikit,hanya sedikit.....sebelah mata, jeling pun enggan. Hina sangatkah...sehinggakan aku perlu merayu agar diberikan pertolongan itu. Membebankah permintaan 80 minit itu?

Hipokrit

|

Lapang tanpa ada sebarang harapan cinta manusia. Jujurkan pernyataan ini? Iya tapi aku tidakkan. Mahu dan aku enggankan. Suka tapi aku bencikan. Bersuara tapi aku diamkan. Makanya aku menangis sendirian.

Aku di sini lagi

|

aku masih di sini, menyampai kata hati. Yang aku sahaja yang ketahui....ah satu kemungkinan pastinya. Dunia semakin cerah. Kelapangan hati terserlah tanpa adanya sebarang harapan cinta manusia. semoga kelapangan itu yang akan membawa aku temui cinta di penghujung jalan.

Darjat

|

Cinta antara dua darjat. Sepi tiada bersuara. Lihatlah dunia betapa darjat mempengaruhi dua jiwa. Lantaran bisu kata-kata . Ah, mungkin takut kalau tak diterima. Aku dah lali. Aku biarkan sahaja. Apalah yang mampu untukku cari untuk mengubah pendirian yang sudah tetap dihati. Aku cuma insan kerdil yang hanya mampu memohon takdir. Itulah melayu dulu sampai sekarang. Enggang mencari enggang. Pipit bersama pipit. Takkan terpisah selamanya mungkin. Besarnya kuasa darjat! Enggang terpaksa menyepi. Pipit terpaksa berdiam.

Senyum...teruskan senyuman itu.

|

Debaran itu semakin laju. Rindu itu semakin menjadi-jadi. Parah aku nie. Namun aku sentiasa ingat ianya hanyalah impian semata-mata. Jadi nyata maka ia bonus untuk aku. Jika sebaliknya, sekurang-kurangnya hati aku sudah pandai untuk tersenyum kembali.Walau apapun keputusan di akhirnya, aku akan cuba untuk kekalkan senyuman ini. Alohaaaaa peaaceeeeeeeeeee! Kerinduan yang pelik.

Adeh..

|

Aku sedang kerinduan! Rindu yang amat. Rindu yang pelik. Rindu yang ntah bagaiamana boleh rindu. Seperti entri yang lalu. Rasa itu datang lagi. Pelik! Rindu yang pelik.

Rasa itu muncul lagi

|

Entah mengapa, malam ini tiba-tiba hati aku ingin kembali menangis. Perasaan yang sama pernah aku rasai 9 tahun lalu, saat pertama kali hati aku di sentuh. Cumanya kali ini aku rasa aku mampu untuk tidak perdengarkan tangisanku itu. Semoga Allah unjurkan sesuatu yang paling baik untuk aku. Bersabarlah duhai Hati. Pasti akan ada satu hati yang akan menjadi milikmu!

Nama siapa yang harus aku pilih..

|

Ah...aku buntu. Sangat buntu. Aku sedang menguruskan kewujudan dokumen itu. Segala dokumen untuk mereka-mereka kelak setelah kepergianku. Ah....buntunya, nama siapa yang harus aku pilih untuk tanggungjawab itu. Unsur kepercayaan ternyata amat tipis dalam diri. Akukah yang silap kerana ketipisan itu?

Siapakah yang benar-benar ambil berat keperihalan aku ini? Aku buta tentang itu. Tiada cahaya yang menyuluh wajah siapa itu...Maka aku seharusnya tawakkal dan berserah. Semoga pilihan itu dalam perlindungan Allah.Ha...kalaulah aku boleh pilih nama itu....Aku segan. Takut mungkin. Kerana nama itu bukan sesiapa dengan aku!

Aku masih ada harapan itu

|

Entah bagaimana dalam aku kesakitan-(mungkin sakit itu semakin hilang) aku masih merasa ada warna-warna pelangi di hadapan. Aku hanya diam, namun sebenarnya ada luahannya di sini. Dan rasa itu semakin menarikku. Apakah? Ha....aku hanya mampu menzahirkannya di alam fantasi.Ku tinggalkan sakit itu. Biar ia nyahhhhhhhhhhh dari hidupku. Adalah baik bagiku memberikan perhatian pada sesuatu yang memberikan aku kebahagiaan. Manakan tahu kebahagiaan itu akan kekal menjadi milikku. Ya....aku masih ada harapan untuk itu.

Hatiku kembali terbuka untuk semua rasa bahagia itu. Aku tak pasti apa yang aku lalui ini. Mungkin juga suara kecil dari sudut hati. Egoku menidakkannya! Aku takut dengan rasa ini. Tapi ketahuilah bahwa rasa ini membuatkan duniaku kembali cerah. Mengapa aku tidak percaya dengan kata hati? Bagaimana harusku pasti bahawa kata hati ini adalah gerakan dari Dia yang maha mengetahui? Oh tuhan semoga Engkau tunjukkan kesahihan rasa ini datangnya dariMu.

Okay! Aku hanya mampu merintih dan memohon pada Yang Berkuasa. Selebihnya perjalanan hidupku aku lalui sahaja lorong jalan yang diberi untukku memilihnya.


Rinduku leraikanlah ia...

|

Bagaimana untuk meleraikan rasa rindu...Rindu itu amat berharga yang tuhan berikan kepada hati. Merindui dan Dirindui. Antara dua hati. Pertemuan mungkin mampu menyahkan kerinduan. Namun apakah pertemuan itu bakal berterusan...ah, mungkin sekali tidak. Kerana fitrahnya, ada pertemuan seharusnya berpasangan dengan perpisahan.

Nah, perpisahan itu yang tak mampu untukku berdepan-depan! Perpisahan itu amat menggerunkan yang bernama hati. Aku tidak mahu lagi berdepan dengan yang bernama PERPISAHAN. Lalu bagaimana untuk mengubat kerinduan yang melanda hati? Mana mungkin aku mahukan perpisahan lagi.

Ya Tuhan, kepadamu ku bermohon. Sekiranya ada pertemuan selepas ini, maka jauhkanlah dari perpisahan yang menghiris hati. Jauhkanlah perpisahan yang menyakitkan. Jauhkanlah perpisahan yang membuat hati lara. Mana mungkin untuk ku mengelak fitrah alam yang telah ada ketetapan. Maka itu, semoga pertemuan seterusnya akan ada perlindungan dari-Mu ya rabbi....Leraikan rindu ini.

Hanya kerana nama....

|

Hanya kerana satu nama, pertelingkahan kecil itu terwujud. Aku sungguh berasa kesal dengan senario ini. Aku sedar seakan pemiliknya ada terselit rasa malu dan segan dengan nama itu. Mengapa....mungkin nama itu satu dalam seribu. Mungkin bunyinya segala pelik di pendengaran? Oh...ketahuilah teman, mana unik itu yang membuatkan engkau sentiasa dalam ingatan. Sentiasa lekat dihati. Nama itu milikmu. Mengapa mahu diselindungkan dengan nama lain? Itu pilihanmu...itu hakmu. Aku akur....Kiranya baca ini....aku tegaskan lagi. Aku akur kerana nama itu milikmu. dan Aku akur pilihanmu walaupun berat untukku menyetujuinya! Dan juga keakuranku adalah kerana kau sahabatku.....yang paling istimewa!

Semuanya seketika

|

"Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembali kita kepadaNya"

Antara permulaan bait-bait lagu tetamu senja. Dan malam ini aku menerima khabar salah seorang sepupu lelakiku telah kembali menemui si Pencipta. Arwah sudah berbulan terlantar sakit. Ntah kami sekeluarga merasakan penyakitnya suatu misteri, sains boleh menulisnya sebagai barah. Tetapi sukar pula dikesan jika ia benar-benar barah. Orang-orang lama boleh menyatakannya buatan orang. Nauzubillah...sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui. Dia telah pun pergi dan semoga rohnya dicucuri rahmat. Sememangnya apa yang menjadi milik kita, milikannya seketika cuma!

Inilah Kudrat

|

Melakukan semuanya...seakan aku sudah kehabisan kudratku. Namun, aku tidak boleh berhenti disini. Aku harus meneruskan tanggungjawab itu. Tanggungjawab sebagai anak, itu tidak mungkin aku tinggalkan untuk keselesaanku. Tanggungjawab sebagai pendidik, mana mungkin aku abaikan. Tanggungjawab sebagai kawan sentiasa ku berusaha menunaikan.

Sebagai anak, tanpa orang tua manakan kita berada di sini untuk mengembara dalam dunia. Kerana mereka kita kenali alam. Kerana mereka kita belajar tentang kehidupan.

Sebagai pendidik, itulah insan yang mahu dunia ditadbir dengan jayanya. Pandai tulis baca. Punya hati dan jiwa yang kental. Si kecil muda belia perlu dibekalkan agar tidak kebuluran pegetahuan. Agar tidak melencong arah tujuan. Membina insan untuk suatu pengembaraan dunia yang penuh pancaroba.

Sebagai kawan, mereka menjadi teman tatkala bersendiri. Itulah kawan , jasa baik dihargai. Pengganti saudara kandung yang sudah pergi. Semahunya tidak ingin mereka berjauh hati. Hari ini hari mereka esok lusa, mana tahu hari kita pula..

Apakan daya, daya kudrat perempuanku sudah ke tahap maksimum. Aku sudah keletihan. Dan kini aku cuma mahu berhenti seketika. Mengumpul semula kudrat untuk meneruskan apa yang telah diamanahkan itu.Izinkan aku ....

Rindu

|

Hatiku sedikit kerinduan. Merindu dengan suasana lama dulu yang telah berlalu. Merindu dengan zaman itu yang telah berabad menyepi. Walaupun aku bersendiri. Teman-teman ku itulah di sisi. Merekalah adik-beradikku. Sehingga kini, itulah yang aku rasa. Teman itu kakak, teman itu abang, teman itu adik malah teman itu saudara kembarku. Hehehehe...aku redha dengan ketentuan-Nya , menetapkan aku sebagaimana aku hari ini. Masih sendiri.

Ada waktu aku berimaginasi sendiri....mengarut...kerana ia tak akan mungkin menjadi nyata.
Ibu...anganku kau di sisi tatkala ku berduka.
Manisah...harapanku menjadi tempat mengadu domba.
Muhammad...citaku engkaulah pembelaku saat ku dianiaya.
Aku...penglipur mereka semua.
Aniza...kepadanya kuimpi mencurah kasih mesra.
Adik...syukurlah kerana kau tidak pernah kenal dunia yang penuh pancaroba.
Syukur...betapa Allah amat menyayangi kalian.
Sehingga kalian dipanggil dekat di sisi-Nya.

Namun...ia tetap subur dalam alam hidupku.
Aku di sini meneman Ayah...
Kalian di sana meneman Ibu...
Moga kitakan berkumpul bersama di sana.
Bahagia kita kekal ABADI selama-lama.

Indah Rasa

|

Terasa nyamannya pagi. Burung-burung berkicauan. Erm....orang jawa sebut, "perenjak" ada tetamu yang tak disangka-sangka akan menunjukkan diri mungkin. Itu telahan orang-orang lama.Persekitaran sepi, sepi yang mendamaikan. Hati jadi damai. Alangkah bahagianya punya rasa damai.

Aku berbahagia, ayahandaku beransur pulih. Sudah boleh duduk sendiri tanpa perlu diampu. Sudah mampu mengangkat kaki tanpa mengaduh. Aku terasa bahagia sempat melunaskan tanggungjawab yang satu. Terima kasih tuhan memberikan aku kesempatan.

Indahnya pagi tatkala nyawaku dikembalikan. Terima kasih tuhan kerana membenarkan aku meneruskan kehidupan. Semoga kehidupan yang mendatang akan Kau permudahkan.

Nikmati kehidupan

|

I.
Seronoknya hari ini. Erm ye ke seronok? Ya....kerana seorang sahabat telah selamat mengikat tali pertunangan.Aku sentiasa tersenyum, memandang senyumannya yang manis. Melihat cahaya kegembiraannya terpapar di wajah. Ya...aku pernah melalui saat itu. Saat-saat detik hati yang debar. Saat diri kan menjadi tunangan orang. Namun siapa sangka, senyuman itu tidak lama. Akhirnya tenggelam dek keadaan semasa. Aku terkenang juga waktu riuhnya rumah perlindunganku ini. Dengan gelak tawa anak-anak kecil. Riang berlari dari depan ke belakang , dan sesekali berlari masuk ke kamarku yang wangi harumnya haruman bunga rampai.

Aku terkenang, saat-saat persiapan menghadapi hari itu. Betapa terujanya hati bersama teman-teman yang setia menemani. Meneman malamku, bersama menggubah hantaran, berkongsi idea , memberikan pandangan. Ah.....aku sudah lalui saat itu. Penat tidak terasa. Kemeriahan menenggelamkan segala. Aku jadi rindu.

Masa terus berlalu. Aku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tiada lagi senyuman yang menjadi penyeri. Tiada lagi kebahagiaan di hati. Segalanya sudah aku lalui. Semoga senyuman sahabatku tadi akan ku lihat lagi kekal sepanjang hayatnya. semoga impiannya kan jadi nyata bahagia bersama.Aku akan meneruskan perjalanan yang berliku. Aku masih lagi mencari senyuman untuk mengganti senyuman yang lalu. Aku masih lagi mencari kebahagiaan diriku. Aku masih lagi insan yang memerlukan teman suka duka.Semoga Allah segera menemukan.

II.
Ntah mengapa terasa seakan ada air mengalir dihati. Aku bukan bersedih. Tapi aku mungkin berbahagia. Mengapa? Aku seakan tidak percaya aku boleh bertemu sapa dengan sahabat yang pernah ku kenali 10 tahun lalu. Kini mereka kembali kepadaku. Dulu aku dan mereka jauh walaupun sebenarnya kami dekat. Sekarang ini, aku merasakan mereka sangat dekat denganku walaupun hakikat sebenarnya jarak menjauhkan kami. Aku tidak pernah terlintas di minda bahawa aku akan alami semua ini.

Semoga persahabatan ini , persahabatan 'musim' ke dua ini, akan terus berkekalan. Semoga kami sentiasa berhubungan dan ku berharap ikatan kali ini akan lebih kuat dan teguh. Aku semakin sayang kepada mereka. Syahjehan, ceriteramu mengajarku tentang keceriaan hidup. Wanliz, coretanmu menunjukkan aku tentang ketabahan hati. eeeda, penceritaanmu memperlihatkan aku akan kejayaan hidup. Kokoro, hebahanmu menjadikan aku berpengetahuan dan Shamsul, karanganmu memanduku untuk meneruskan senyuman di wajah. Kehadiran kalian menyedarkan aku tentang kehidupan ini sebenarnya adalah untuk kita sama-sama nikmati dan bukan untuk ditangisi.

Tidak bertajuk

|

Tidak tahu mengapa....tapi hari ini aku rasa gembira walaupun ada unsur kebosanan terselit dalam jiwa. Namun aku masih ingin menulis sesuatu di sini. Tentang apa? Kisah apa? Entah aku tidak pasti. Aku hanya mengetuk-ngetuk papan kekunci laptop ini mengeja dan terus mengeja sehinggakan perkataan-perkataan yang kususun menjadi ayat-ayat yang ada makna. Maksudnya boleh dibaca lah...walaupun sebenarnya tiada isi pun kan? Heheheh aku ingin menulis tapi tiada idea. Mungkin juga keterujaan ku terhadap wajah baru di blog ini. Kemungkinan yang sangat besar....Aku suka berada di sini.

Mencari diri

|

Aku ingin sekali bermonolog di sini. Tetapi aku sering ketandusan idea menyusun kata. Perbendaharaan kata-kata hanya menimbun tatkala aku kecewa, aku marah, aku sedih, aku pilu. Aku gundah. Aku sering kehilangan kata-kata apabila segala yang negatif itu lenyap. Hah...itulah manusia. Hanya teringat apabila terjelapuk. Hanya sedar apabila terduduk.

Tatkala waktu kebahagiaan dengan diri, kita lupa kesedihan. Ketika kita kaya, kita sering lupa kepada kemiskinan. Manusia seperti kita-kita memang sering lalai dan kerap lupa. Mabuk dengan segala kesenangan. Terlalu kelekaan dengan keselesaan. itulah kita. Dan aku?

Aku salah seorang daripada jutaan manusia yang sering kelekaan. Inginkan perubahan, tindakan apakah yang aku ambil. Menuju kearah impian, adakah langkah telah ku mulakan. Betapa beratnya untuk memulakan langkah. Walaupun hati telah lama tahu seribu langkah itu bermulanya daripada satu langkah.

Mungkin ini salah satu caranya aku menyata hasrat memula langkah. Memberitahu kepada semua apa yang aku cari.

Apa perubahan yang aku mahu?
Apa tindakan menuju perubahan itu?
Siapa aku esok hari?
Bagaimana akan aku diingati setelah mati?

Aku sedang mencari siapa aku....
Aku sedang mencari diri....
Aku sedang menilai hati....
Aku sedang membina jati diri....

Mulakan langkahmu kaki
Mulakan niatmu hati

Tunjukkan bagaimana hebatnya kamu,siapa kamu!

Meniti hari ini

|

Titian hariku semakin teguh. Jambatan kasihku pada hati semakin kukuh. Walau ada waktu aku tersandung. Walau ada masanya petir berdentum. Itu semua tidak kuhirau lagi. Kesakitannya sudah lali. Aku meneruskan langkah. Membuka hati , melebarkan sayang , menadah minta kebahagian. Hatiku ku ajarkan keikhlasan. Dan hari ini, dengan bertunjangkan keikhlasan ....walaupun masih terasa kurangnya perasaan..aku berjaya hadapi.
Aku ceria tunjuk ajar kepada mereka-mereka betapa kita-kita semua sebenarnya sejahtera. Aku suka bersuara bahawa kita-kita bahagia bersama. Walaupun kita-kita semua berbeza adat dan budaya. Aku bangga berkata kita-kita semua anak Malaysia.

Hari ini....aku bangga menjadi aku. Aku teruja bila diri diperhati . Aku tak sangka aku penting pada mereka-mereka. Aku sedar kini, aku berada di sini pada hari ini bukan untuk dia seorang. Masih ada ramai mengharap kasih dan perhatianku. Aku ada dia, aku ada dia, dan aku ada dia. Aku masih perlu terus hidup, untuk dia, dia, dan dia. Aku perlu bersemangat supaya dia,dia dan dia tidak tersungkur sepertimana aku jatuh. Aku perlu kuat untuk berada di sisi dia, dia dan dia untuk mereka terus maju membangunkan hidup.

Aku masih aku tanpa perlu membazirkan air mata kesedihan. Aku perlukan air mata itu agar menjadi air mata yang lebih memberi makna. Hari ini, aku masih bangun dari jatuhku untuk mereka-mereka yang lebih menghargai aku.

Bagaimana hidup yang dicari

|

Aku sudah lama berkelana di atas bumi ini. Lamakah? Bernilaikah 30 tahun yang sudah diberi Allah kepadaku? Bagaimanakah sebenarnya hidup yang aku cari? menyendiri atau sabaliknya. Anda pula bagaimanakah hidup yang anda cari? Kebahagian? Kekayaan? Ketenangan? Kemewahan? Segalanya ada. Ada didepan mata kita semua. Tetapi masih terselindung dek ribuan lagi harapan dalam jiwa.

Giliranku diduga dan diuji...

|

Banyaknya perkara yang membuatkan hatiku tersentuh, jiwa mengeluh dan emosi berterabur sini sana. Aku menjadi bertambah-tambah sensitif saban waktu. Semakin hari berganti hari, mudahnya tersentuh hati. Bila aku kenang-kenang kembali, sinar cahaya dalam hidupku seakannya semakin kesamaran. Giliranku diduga sudah tiba, giliranku diuji sedang berlangsung. Syukur....Allah masih sayang padaku,walhal adakala aku sering terlupa dek kerana leka dengan duniawi.

Aku sayang 'dia'. Akhirnya 'dia' yang aku sayang membunuh hati ini. Ujian paling besar Allah beri pada aku. Kenapa? Aku belum ada jawapannya.

Kawan, dekat depan mata tapi jauh. Seorang kawan tempatku menghiburkan hati. Tiba-tiba menyepi. Aku seakan diketepikan. Aku amat terasa hati. Kesibukan menjadi rutinnya penyebab terputus keakraban. Tiada lagi perkongsian kembara, tiada lagi berkongsi cerita. Sirna persahabatan itu perlahan-lahan.

Insan yang sentiasa di sisi memberi dan meneman disaat-saat aku memerlukan. Jarak telah memisahkan kami atas urusan kerja. Aku hilang tempat untuk menumpang duka. Masih mampu berkongsi, tapi keintimannya berbeza. Tetap tak serupa di kala dia berada di sisi. Tetapi aku masih terima, dia bukan milik aku di sini. Dia milik suami dan anak-anaknya yang abadi. Hati menangis sendiri. Satu.....bukan pisah selamanya,sementara. Cuma ntah.....aku terasa ketiadaannya.

Terima lagi berita. Tempat aku mengada-ngada. Menjarakkan juga kemesraan dulu. Kedatanganku adalah kepulangannya. Berselisih cuma diantara datang dan pulang. Masih mesra tapi tidak seindah mesra yang lalu.

Akhirnya, teman tempat ku bermanja. Tidakkan dapat menjadi pergantungan manja nan mengada-ngada. Tetap urusan kerja menjarakkan. Tiada lagi gurau senda. Tiada lagi tempat berkongsi cerita duka bahagia. Ketenangan jiwa semakin gelora aku kehilangan insan-insan teman istimewa dalam hidup yang sementara.

Lima insan teman istimewa dalam hidupku pergi jauh satu persatu. Ketiadaanku tiada keterasaan mungkin pada mereka. Mereka punya insan-insan lain yang lebih istimewa. Siapalah aku dalam sekadar teman diperjalanan hidup yang singkat. Tapi bagiku....kepergian mereka dari ku , terlalu 'segera'. Seorang demi seorang menjauh dariku....tanggungjawab menjarakkan kami. Tetapi mengapa Allah memilih mereka-mereka yang terlalu intim denganku? sekali gus....dalam masa yang singkat! Apakah yang Allah telah sediakan untuk aku untuk semua ini?

Kesabaranku tercabar. Kemahiran mengawal emosiku tergugat. Aku perlu kuat! Redha dan perlu terima segala ketentuan itu. Pasti ada sesuatu yang besar sedang menantiku di hadapan sana. Semoga aku tabah menghadapi segala dugaan dan ujian ini!

Segala peristiwa menyentuh rasa. Sedikit kejauhan membuatkan aku jauh hati. Saat bersendiri adakala air jernih membasahi hati.

Takdir Hidup Insan

|

“Takdir itu ialah Qada dan Qadar Tuhan iaitu suatu ketetapan Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha luas dan halus ilmu pengetahuanNya ke atas apa yang telah dan akan berlaku kepada alam dan segala isinya yang telah sedia termaktub tertulis sejak Azali lagi di dalam Luhul-Mahfuz.”

Manusia sebagai hamba yang lemah tiada kuasa sedikitpun walaupun sekecil-kecil zarrah untuk menentukan Takdir dan nasib mereka sendiri kerana Allah itu salah satu sifatnya ialah ”memperbuat apa yang Dia kehendaki” (Al-Buruj ayat 16).

Zahirnya syariat menyuruh manusia berusaha, beramal, sedang hakikat syariat melarang manusia menyandarkan diri pada amal usaha itu, supaya tetap bersandar pada kurnia rahmat Allah semata-mata.

Kalau insan inginkan kebahagian jiwa yang hakiki, maka insan mestilah sentiasa yakin bahawa sesungguhnya apa sahaja yang telah dan yang akan berlaku di dalam hidup insan sama ada bahagia atau derita, miskin atau kaya, berjaya atau gagal semuanya adalah sebahagian dari anugerah Tuhan YANG PALING BAIK DAN SEMPURNA yang telah ditetapkan oleh ALLAH yang Maha Adil, Maha Penyayang, Maha Bijaksana dan Maha Pemurah untuk kehidupan Adik N di dalam dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Redhalah dengan segala ketentuannya.

Alangkah indahnya ucapan Muhyiddin Ibn Arabi apabila dia berkata: Jika ditahan permintaanmu maka bererti engkau telah DIBERI, dan jika segera diberi permintaanmu bererti engkau telah DITOLAK dari sesuatu yang lebih besar. Kerana itu utamakan tidak dapat, daripada dapat dan sebaiknya seorang hamba tidak memilih sendiri, tetapi menyerah sebulat-bulatnya kepada Tuhan yang menjadikannya, yang mencukupkan segala keperluan hidupnya.

Setiap hari katakan lah “Aku bersyukur kepada Tuhan yang telah menetapkan Takdir yang terbaik untuk ku hari ini dan pada setiap masa kerana Engkaulah Tuhan yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Pemurah. Aku redha Ya Allah”

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Ujian dan Halangan

|

Seorang raja yang adil ingin melihat dan meninjau sikap rakyat yang tinggal di wilayah pemerintahannya. Pada suatu hari, baginda dan beberapa orang pembantu yang taat meletakkan seketul batu yang besar di tengah jalan utama di wilayah tersebut. Baginda kemudiannya bersembunyi untuk melihat perilaku rakyat yang lalu lalang melalui jalan itu. Ramai pedangang, peniaga dan pembesar istana yang kaya raya lalu di situ. Mereka cuma mengelak dari merempuh batu tersebut. Ramai jugak di antara mereka yang merungut dan menyalahkan Raja kerana tidak menguruskan satu-satunya jalan utama yang sibuk itu dengan baik. Tidak seorang pun di antara mereka yang cuba mengalih batu tersebut dari jalan itu.


Tidak lama kemudian seorang petani melalui jalan itu dengan membawa sebakul sayur-sayuran untuk dijual di pasar. Bila terlihat ada seketul batu yang menghalang perjalanannya, petani tersebut meletakkan bakul yang digalasnya lalu cuba untuk menolak batu itu ke tepi. Selepas mencuba sedaya upaya, akhirnya batu itu dapat dialih. Ketika ingin mengambil bakulnya semula, petani tersebut terlihat ada satu bungkusan kecil berupa dompet. "Mesti ada seseorang yang tercicir dompet ini ketika ingin cuba mengalih batu ini tadi" kata petani dalam hatinya. Dia pun membuka untuk meneliti pemilik dompet tersebut supaya mudah dia mengembalikan dompet tersebut kepada tuannya. Alangkah terperanjatnya bila dia mendapati dompet itu dipenuhi dengan wang yang banyak dan sekeping nota daripada raja kepada sesiapa yang mengalih batu tersebut. Nota itu menyatakan duit yang di dalam dompet tersebut menjadi kepunyaan orang yang mengalih batu tersebut serta raja mengucapkan berbenyak-banyak terimakasih kerana sikap prihatin yang ditunjukkan.


Situasi dalam cerita di atas seringkali terjadi dalam hidup kita. Jika boleh, kita tidak mahu melalui sebarang halangan dalam meniti kehidupan seharian. Jika boleh, kita mahu perjalanan hidup kita ini lancar tanpa gangguan dan halangan. Namun, bukan begitu adat kehidupan di dunia ini. Sebagai manusia, kita akan diuji dengan pelbagai masalah dari semasa ke semasa. Ujian dan masalah itu merupakan satu pendidikan yang amat berkesan dalam hidup kita. Ia mendidik kita dari pelbagai sudut (fizikal, mental, emosi, sikap etc) sebab itulah orang yang bijak, dia tidak akan mencari masalah namun bila masalah itu datang kepadanya, tidak pula dia lari dari masalah itu kerana dia tahu Allah mendatangkan masalah itu berserta seribu rahmat dan hikmah. Biar berapa lama pun masa dan biar berapa kali pun kesilapan yang kita lakukan dalam menyelesaian sesuatu masalah, di sana kita belajar sesuatu yang amat bernilai dalam kehidupan kita. Biasa kita lihat, orang yang "berjaya" (berjaya di sini bukan bermaksud kaya raya) dan "bahagia" dalam kehidupan, dia telah melepasi pelbagai ujian dan masalah. Ujian dan masalah itu yang menjadikan dia seorang yang matang, sabar, tabah, kental dan lain-lain sikap yang positif (mahmudah), yang tidak akan dipelajari oleh orang-orang yang asyik mengelak dan lari dari menghadapi ujian dan cabaran.

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Beritahu Perempuan itu...

|

Beritahu pada perempuan itu
Dirinya ibarat kaca
Disentuh terguris, dihantuk serpih
Dihempap berkecai

Beritahu pada perempuan itu
Jaga tutur kata
Cakap tinggi nanti dibenci
Terlalu rendah dipijak pula
Cakap sombong mengundang lawan
Hati-hati meluah kata
Kerana pulut santan binasa
Kerana mulut badan binasa

Beritahu pada perempuan itu
Jaga tingkah laku
Harga diri letak di situ
Jangan meluru ikut telunjuk nafsu
Sesekali tersilap langkah
Akan dihukum selamanya
Keturunan dicerca tidak payah
Menyesal kemudian bukan faedah

Beritahu pada perempuan itu
Jaga pakaian
Ia cermin peribadi
Juga lambang bangsa
Di mana dan dalam keadaan macam manapun
Biar orang kenal
Dia orang Melayu

Beritahu pada perempuan itu
Simpan secebis malu
Kerana malu itu sebahagian dari iman!!!

-Tirana : meniti-hari.blogspot.com-

Ku pohon kehadratMu

|

Ya Allah....kuatkan hatiku, tabahkan jiwaku. Aku bermohon Kau berikan aku cahayaMu untukku melupakan segala peristiwa lalu. Untuk aku membina penghidupan yang baru. Seawal ini, belum pun sempat aku melangkah membina semangat, Kau datangkan lagi berita yang meluluhkan perasaanku.

Tahun ini tahun baru. Penghidupan yang baru menjadi impianku. Mengapa sukar untukku memberi kemaafan itu. Ya Allah berikanlah hidayahMu untukku. Aku tak berdaya menanggung beban perasaan ini. Di pandangan alam. Aku berpura kuat dah cekal. Aku berpura senyum menceriakan. Hakikatnya hanya Kau yang mengerti. Sehingga bilakah aku akan bertahan dengan kepura-puraan ini? Mengapa aku yang Kau pilih untuk menghadapi ujian yang seberat ini? Ya ....pada aku insan kerdil ini, dugaanMu terlalu berat untuk aku tempuhi.

Ya Allah....tuhanku yang maha mengasihi, aku merayu padaMu berikanlah aku cahayaMu. Gantikanlah duka laraku dengan kerlipan cahaya. Terangi jiwaku dengan NurMu itu. Aku dah tak berdaya menipu perasaan dukaku. Aku dah tak terdaya memberi senyum palsu. Aku dah tak mampu berdrama kecekalan jiwaku. Ini aku. Sakit.

Namun...akan jua kuterus tanpa jemu. mencari mereka-mereka yang tabah. Mendekati mereka-mereka yang ceria. Menghampiri mereka-mereka yang cekal hati. Semoga Kau izinkan aku menjadi setabah mereka. Seceria dan secekal mereka. Ya Allah....aku benar-benar inginkan keteraman jiwa, menuju lorong kebahagiaan. Berikan aku seseorang yang dapat menunjukkan jalan itu kepada ku. Ya Allah aku bermohon. Berikanlah dia kepadaku. Aku merayu...aku bermohon. Berikan keajaiban kepada hati nuraniku ya Rabbi.....